Wednesday, March 16, 2011

d u a p u l u h e n a m

Sabtu yang lepas, umur aku beranjak ke angka dua puluh enam. Bunyi sepertinya sudah tua. 26 tahun lah aku dah menikmati nikmat yang Allah kurniakan selama ini. Semakin meningkat umur, semakin tertanya-tanya apa bakti yang sudah ditabur? Apa sudah cukupkah pahala yang dikumpul untuk menuju ke syurga Allah suatu hari nanti? Kepala selalu digasak dengan dosa-dosa dan bayangan hukumannya, tapi nafsu masih mahu merasai nikmatnya dosa di dunia.

Aku mahukan perubahan umur ini menjadi satu titik tolak kepada sebuah perubahan yang sungguh cantik dan sempurna. Dikurniakan segala yang baik-baik dan indah, itu harapan yang sungguh kemas dipahat. Moga Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang terus memberikan rezeki yang luas dan segala yang direstui. Amin.



Antara yang sudi memberikan kasih sayang mereka




Terima kasih atas ucapan dan pemberian. Aku terharu. Aku sayangkan kalian semua.

Friday, March 11, 2011

hmmmmm

Aku mahu merungut. Yang pasti ini bukan untuk yang pertama kali. Aku memang suka merungut. Penat. Kenapa ada manusia yang susah untuk bertimbang rasa dan bertolak ansur. Apa janji itu wujud untuk dimungkiri? Sampai satu tahap aku jadi mengungkit. Aku langsung tak ikhlas. Aku pertikaikan pemberian aku. Itu dosa. Tapi aku juga manusia yang ada hati dan perasaan. Boleh tak kalau tolong jaga? Tak perlu membelai dan dimanjakan. Tapi hormat. Itu sangat penting.

Ada manusia yang memandang status untuk mendekati. Ada manusia yang memandang rupa untuk menjadi baik. Ada manusia yang memandang jantina untuk dikasihi. Susah juga untuk berkasih sayang rupanya. Banyak undang-undang yang terpaksa dikiblatkan. Penat juga.

Eh, entri sekarang banyak yang berlaukkan cerita-cerita negatif. Hentikan. Lepas ini, biar positif dan cantik.

Wednesday, March 9, 2011

silalah pergi

Kecewa kerana kemanisan mulutnya. Sungguh, dari dulu aku tahu dia bukan seperti yang aku fikirkan. Dan setelah beberapa episod, aku semakin mengerti yang dia memang bukan insan yang aku sangat perlukan dunia akhirat. Ok, aku mahukan insan-insan yang akan terus bersama aku. Susah sikit pun dah tak mampu nak membantu, silalah pergi. Mula-mula aku positif. Tapi semakin banyak cerita, semakin membuktikan yang dia memang penjenayah hubungan. Tolong sesiapa tangkap sahaja dia dan campak ke daerah mana pun. Sakit dia, sakit aku. Sakit aku, bukan sakit dia. Susah dia susah aku. Susah aku, dia masih bersenang lenang. Kadang-kadang, kesusahan dia menyebabkan dia senang oleh kesusahan yang aku tanggung juga. Jadi, sila pergi. Sungguh, aku tak mahu kamu. Syuh!

Wednesday, March 2, 2011

l.i.m.a

Nama kumpulan kami dulu, Group Five. Baiklah, memang kami berenam. Tapi sebab masuk Gemilang, ada 4 group je jadi kami jadikan kami berenam group lima. Semua dah selamat menjadi hak milik pasangan masing-masing. Aku seorang sahaja yang masih teruna.



Ini Diana. Dia dah menjadi Puan Kiman dari tahun lepas lagi. Dia yang pertama menhilangkan status bujang dalam kumpulan kami walaupun dulu dia cakap dia nak jadi yang terakhir. Tapi kuasa Tuhan menyatakan cinta mereka bersatu lebih awal. Semakin bahagia dia sekarang. Alhamdulillah. Walaupun ramai yang cakap dia gemuklah, berisilah, hei pedulikan. Bukan berdosa pun badan meningkatkan isinya.


Zeze pun dah selamat bersama pasangannya, Dayah. Budak kecik ni mengejutkan ramai pihak bila semua tahu dia bercintan dengan Dayah. Tapi kalau dah dalam hati ada taman, apa yang peliknya kan. Asalkan kuasa cinta mampu menguasai segenap rongga badan.


Inilah pasangan paling unik. Lukman dan Aing. Sama-sama menjadi entiti dalam group l.i.m.a. Mula-mula malu. Tapi mahu. Beberapa tahun bersama sebagai teman rapat. Walau dalam hati penuh dengan madah cinta antara satu sama lain. Kan? Akhirnya kerana rasa cinta yang begitu kuat, mereka bersatu juga awal tahun ini.




Dan untuk seorang teman ini, takdir Allah mahu dia bertemu putera idaman di syurga nanti. Moga kebahagian itu akan menemanimu di sana, Sha. Putera idamanmu sedang setia menanti di sana. Kau pasti akan bergembira dan berbahagia.


Allahyarham Safawati Rustamin
1985-2010


Rindu aku pada kalian. Harap kalian akan terus berbahagia bersama insan yang kalian cintai tulus dari hati. Aku juga punya impian yang sama. Cuma Allah masih mahukan aku melayari liku-liku hidup ini tanpa pendamping yang akan terus setia di sisi, susah dan senang, suka dan duka, tawa dan tangis. Moga harinya akan tiba nanti. Insyaallah.

Friday, January 14, 2011

hari lahir along


14 Januari 1975, Along dilahirkan. Tahun ini, genap 36 tahun umurnya. Selamat menyambut hari ulangtahun kelahiran. Moga segala-galanya tetap indah untuk hari-hari mendatang. Untuk segala kesedihan yang pernah datang singgah sebentar, biarkan ia terbang. Jauh-jauh, tak ingin lagi dihinggapi. Hapuskan air mata lalu. Moga ia menjadi episod yang disimpan rapi, tak perlu dibuka lagi. Untuk penderitaan yang pernah memimpin kehidupan, pergilah kau.

Pengorbanan yang bukan sedikit, pasti menyakitkan. Namun itu ditolak ketepi, dibuang jauh-jauh rasa menyusahkan. Hanya ungkapan yang terlalu dekat dengan hati kita mampu membalasnya, TERIMA KASIH. Izinkan saya luahkan rasa cinta dan sayang ini. Walau bukan yang terbaik atau teragung, namun ini rasa jujur saya. Walau tak pernah terungkap melalui kata-kata, tapi saya tetap menyanyangi susuk tubuh yang terlalu jujur berjuang untuk keluarga. Ampun untuk segala khilaf, sengaja mahupun tidak.

Moga seluruh kehidupanmu akan terus dilimpahi keimanan dan cahaya. Kebahagiaan yang dicari sudah digenggam. Ia akan berpanjangan, InsyaAllah.

Tuhan, izinkan segalanya berlegar dalam senyuman. Biarkan semuanya berkiblatkan kebahagiaan, biar kami tahu apa ertinya cinta dan kasih sayang. Untuk kesekian kalinya, saya ingin melafazkan, SAYA SAYANG ALONG!

Thursday, January 13, 2011

terbaik

Hari ini dah pun masuk hari yang ke 13 untuk 2011. Sekejap je pun lagi hari yang ke 14. Memang sangat terlambat untuk aku ucapkan "SELAMAT TAHUN BARU!" Untuk tahun ini, aku masih tak punya azam yang betul-betul enak dan indah. Semuanya masih berpaksi pada yang lama-lama. Basi, barangkali. Tapi itu hakikatnya. Mahukan yang indah-indah untuk 2011 dan seterusnya. Yang indah-indah ini bukan hanya secara fizikal. Lebih kuat secara batin. Moga kekosongan itu pergi dan tak muncul lagi.

Terkadang terfikir, kenapa harus punya azam baru setiap kali tahun baru muncul? Sedang azam-azam sebelum ini masih ada yang tak tercapai. Untuk tahun ini, azam aku masih sama. Mahu menjadi yang terbaik. Hamba-Nya yang baik, anak yang baik, abang yang baik, adik yang baik, pakcik yang baik, sahabat yang baik, pekerja yang baik. Ok, apa jua pangkat aku, aku mahukan yang terbaik.

Moga yang terbaik kan selalu mendampingi. Cepat tadah tangan berdoa. Amin.

Thursday, January 6, 2011

cintamu

Kerana aku sugguh tak mampu hidup tanpa kau di sisi, aku inginkan kau terus memberikan senyuman itu.

Biar senyuman itu berterusan menghuni jiwa ini, supaya aku tahu aku tak keseorangan melalui perjalanan ini.

Perjalanan yang tak selalu cantik ini akan menjadi indah setiap kali mendengar bicara kasihmu, berterusan kau bisikkan.

Walau bisikan itu tak didendang setiap hari, aku masih mendengarnya seolah kamu di sisi setiap hari, menggenggam jemari.

Ada hangatnya jemari setiap kali dibelai, seolah tak ingin melepaskan, seolah mahu hentikan waktu.

Setiap waktu yang dilalui, akan ada kemanisan bila keperluan cinta ini dipenuhi, seolah aku makin bernafas dengan penuh ketenangan.

Dan ketenangan itu akan tiada akhirnya bila setiap waktu rinduku padamu bergerak lebih laju dari sebelumnya.



Sungguh aku perlukan cinta darimu untukku terus terasa seakan-akan berada di syurga.

Teruskan memelukku, biar segala kesedihan terbang, biar segala kemanisan menyelimuti.

Jangan pernah berubah demi cinta, agar angin ini berterusan mendamaikan.