Monday, March 28, 2011

udara, saya rindu kamu

Saya rindukan udara saya.
Lama tak bersua dengan udara saya.
Gelak ketawa seakan menyepi.
Tiada usikan mewarnai hidup ini.
Kosong rasa jiwa.
Seri hilang dan terbang.
Sungguh, saya mahu ketemu udara saya.
Segera.

Tuesday, March 22, 2011

kotak itu

Dulu...

Kotak itu
Aku cari
Aku ambil
Aku simpan

Di sudut belakang bilik
Aku susun
Kemas di situ
Aku biarkan
Kotak itu


Sekarang...

Kotak itu
Aku buka
Aku geledah
Aku punggah

Dalamnya banyak isi
Ada buku
Ada nota
Ada barangan harian
Ada hadiah

Ah, hadiah

Kotak itu
Bikin aku rindu
Bikin aku menangis
Bikin aku sayu

Aku menangis
Tolong berhenti air mata
Aku penat

Aku pegang
"Hadiah Untuk Hassan"
Aku menangis lagi

Kau buat aku menangis wahai kotak

Monday, March 21, 2011

raikan cinta

Perancangan asalnya untuk menyambut ulangtahun perkahwinan antara Abg Madi bersama Gjan dan juga Zul bersama Ainul. Dah alang-alang meraikan cinta mereka, aku cadangkan untuk menyambut ulangtahun kelahiran sahabat-sahabat yang lahir pada bulan Mac. Ok, 12 Mac setiap tahun memang aku akan bertambah usia. Makna kata makin tua. Oh, tabahnya perkataan tua itu. Kebetulan 12 Mac tahun ini jatuh gedebuk hari Sabtu dan aku memang balik Kuantan, jadi aku cadangkan untuk meraikan cinta kami pada tarikh tersebut. Bukan sebab itu adalah tarikh keramat aku. Tapi sebab banyak sangat kebetulannya, apa salahnya memilih tarikh tersebut, kan? Hampir 2 minggu merancang. Seminggu sebelumnya, gigih menempah 41 biji cuppies yang shomey lotey dari Puan Yeen. Aku hanya menganggarkan (susah sungguh perkataan ini) lebih kurang 10-12 susuk tubuh sahaja yang akan memeriahkan suasana. Oleh sebab itu makanan hanya ditempah untuk 10 perut sahaja. Hari kejadian, 20 perut datang. Mak aih. Tambah oder, please! Paling haru, aku diberikan tiga k-e-j-u-t-a-n. Terharu. Mari nangis. Kejutan pertama dan kedua, aku tahan air mata. Jangan jatuh ok. Duduk diam-diam dalam kelopak. Tapi masuk kejutan ketiga, mana mampu nak tahan beb. Mujur tak keluar hingus. Fuh. Anda sekalian memang mahir dalam bab menangiskan manusia-manusia sekeliling. Terima kasih ya sahabat-sahabat saya. Saya sayang kalian semua.



Tak semua ada dalam gambar ni. Ada yang dah pulang ke kediaman masing-masing.











Wednesday, March 16, 2011

d u a p u l u h e n a m

Sabtu yang lepas, umur aku beranjak ke angka dua puluh enam. Bunyi sepertinya sudah tua. 26 tahun lah aku dah menikmati nikmat yang Allah kurniakan selama ini. Semakin meningkat umur, semakin tertanya-tanya apa bakti yang sudah ditabur? Apa sudah cukupkah pahala yang dikumpul untuk menuju ke syurga Allah suatu hari nanti? Kepala selalu digasak dengan dosa-dosa dan bayangan hukumannya, tapi nafsu masih mahu merasai nikmatnya dosa di dunia.

Aku mahukan perubahan umur ini menjadi satu titik tolak kepada sebuah perubahan yang sungguh cantik dan sempurna. Dikurniakan segala yang baik-baik dan indah, itu harapan yang sungguh kemas dipahat. Moga Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang terus memberikan rezeki yang luas dan segala yang direstui. Amin.



Antara yang sudi memberikan kasih sayang mereka




Terima kasih atas ucapan dan pemberian. Aku terharu. Aku sayangkan kalian semua.

Friday, March 11, 2011

hmmmmm

Aku mahu merungut. Yang pasti ini bukan untuk yang pertama kali. Aku memang suka merungut. Penat. Kenapa ada manusia yang susah untuk bertimbang rasa dan bertolak ansur. Apa janji itu wujud untuk dimungkiri? Sampai satu tahap aku jadi mengungkit. Aku langsung tak ikhlas. Aku pertikaikan pemberian aku. Itu dosa. Tapi aku juga manusia yang ada hati dan perasaan. Boleh tak kalau tolong jaga? Tak perlu membelai dan dimanjakan. Tapi hormat. Itu sangat penting.

Ada manusia yang memandang status untuk mendekati. Ada manusia yang memandang rupa untuk menjadi baik. Ada manusia yang memandang jantina untuk dikasihi. Susah juga untuk berkasih sayang rupanya. Banyak undang-undang yang terpaksa dikiblatkan. Penat juga.

Eh, entri sekarang banyak yang berlaukkan cerita-cerita negatif. Hentikan. Lepas ini, biar positif dan cantik.

Wednesday, March 9, 2011

silalah pergi

Kecewa kerana kemanisan mulutnya. Sungguh, dari dulu aku tahu dia bukan seperti yang aku fikirkan. Dan setelah beberapa episod, aku semakin mengerti yang dia memang bukan insan yang aku sangat perlukan dunia akhirat. Ok, aku mahukan insan-insan yang akan terus bersama aku. Susah sikit pun dah tak mampu nak membantu, silalah pergi. Mula-mula aku positif. Tapi semakin banyak cerita, semakin membuktikan yang dia memang penjenayah hubungan. Tolong sesiapa tangkap sahaja dia dan campak ke daerah mana pun. Sakit dia, sakit aku. Sakit aku, bukan sakit dia. Susah dia susah aku. Susah aku, dia masih bersenang lenang. Kadang-kadang, kesusahan dia menyebabkan dia senang oleh kesusahan yang aku tanggung juga. Jadi, sila pergi. Sungguh, aku tak mahu kamu. Syuh!

Wednesday, March 2, 2011

l.i.m.a

Nama kumpulan kami dulu, Group Five. Baiklah, memang kami berenam. Tapi sebab masuk Gemilang, ada 4 group je jadi kami jadikan kami berenam group lima. Semua dah selamat menjadi hak milik pasangan masing-masing. Aku seorang sahaja yang masih teruna.



Ini Diana. Dia dah menjadi Puan Kiman dari tahun lepas lagi. Dia yang pertama menhilangkan status bujang dalam kumpulan kami walaupun dulu dia cakap dia nak jadi yang terakhir. Tapi kuasa Tuhan menyatakan cinta mereka bersatu lebih awal. Semakin bahagia dia sekarang. Alhamdulillah. Walaupun ramai yang cakap dia gemuklah, berisilah, hei pedulikan. Bukan berdosa pun badan meningkatkan isinya.


Zeze pun dah selamat bersama pasangannya, Dayah. Budak kecik ni mengejutkan ramai pihak bila semua tahu dia bercintan dengan Dayah. Tapi kalau dah dalam hati ada taman, apa yang peliknya kan. Asalkan kuasa cinta mampu menguasai segenap rongga badan.


Inilah pasangan paling unik. Lukman dan Aing. Sama-sama menjadi entiti dalam group l.i.m.a. Mula-mula malu. Tapi mahu. Beberapa tahun bersama sebagai teman rapat. Walau dalam hati penuh dengan madah cinta antara satu sama lain. Kan? Akhirnya kerana rasa cinta yang begitu kuat, mereka bersatu juga awal tahun ini.




Dan untuk seorang teman ini, takdir Allah mahu dia bertemu putera idaman di syurga nanti. Moga kebahagian itu akan menemanimu di sana, Sha. Putera idamanmu sedang setia menanti di sana. Kau pasti akan bergembira dan berbahagia.


Allahyarham Safawati Rustamin
1985-2010


Rindu aku pada kalian. Harap kalian akan terus berbahagia bersama insan yang kalian cintai tulus dari hati. Aku juga punya impian yang sama. Cuma Allah masih mahukan aku melayari liku-liku hidup ini tanpa pendamping yang akan terus setia di sisi, susah dan senang, suka dan duka, tawa dan tangis. Moga harinya akan tiba nanti. Insyaallah.