Monday, April 20, 2009

terharunya aku

Pagi tadi masa dalam bas menuju ke tempat mecari nafkah, hati aku tersentuh melihat satu suasana yang sangat segar dan menarik. Tidak jauh dari tempat duduk aku, kelihatan seorang bapa duduk bersebelahan dengan anak lelaki beliau. Aku tengok kemesraan mereka sampai aku tersenyum sendirian. Comel. Romantik. Si bapa mengusap lembut muka anaknya. Si anak dengan manjanya melentokkan kepalanya ke bahu si bapa. Suka. Gembira.

Sampai di satu persinggahan, mereka turun. Sempat aku menoleh ke arah mereka. Ada air mata yang cuba aku seka. Dan aku berjaya. Si anak bukanlah sesempurna si bapa. Si anak menghidap sindrom down rupanya. Aku terharu dengan pengorbanan si bapa yang sanggup menemani anaknya yang memang sangat memerlukan perhatian yang lebih darinya. Aku terus menoleh walaupun bas sudah bergerak. Sepanjang perjalanan si bapa dan si anak ke sekolah, tidak pernah walau sesat pun si bapa tidak memimpin erat tangan si anak. Kagum aku dengan si bapa yang sangat memuliakan anaknya walaupun anaknya tidak dilahirkan dengan sempurna di mata insan-insan sekeliling. Tetapi sungguh sempurna di mata bapanya.

Mungkin aku yang terlalu sensitif dan cepat terharu dengan perkara-perkara macam ini. Entahlah.

Friday, April 17, 2009

cerita manis episod 2

Lokasi: Di sebuah perhentian kereta sewa, Kuantan, Pahang Darul Makmur
Tarikh: Sekitar tahun 1997
Waktu: Sekitar Maghrib. (Mungkin 7.45 malam)

Budak Kecil: Pakcik, nak pergi Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau berapa ringgit?

Pakcik: RM 5.

Budak Kecil: Tapi pakcik, saya ada RM 2 je.

Pakcik: Nak buat apa pergi sekolah malam-malam ni?

Budak Kecil: Saya ada kelas tambahan pakcik.

Pakcik: Naiklah. Pakcik hantar.

Pakcik: Terima kasih pakcik.

Ucapan terima kasih itu akan diualangi setiap kali Budak Kecil mengingati kisah tersebut.

cerita manis episod 1

Tiba-tiba hati aku bagaikan memanggil-manggil untuk mengenang perkara-perkara yang pernah memberi warna dalam hidup aku suatu masa dulu.

1. Duduk rumah kecil yang punya hanya 1 bilik dan berkongsi dengan ahli rumah yang berkapasiti seramai 9 orang. Masa itu, adik-beradik aku baru mencecah angka 7.
2. Gembira yang bukan kepalang apabila berpeluang membeli baju baru di musim perayaan. Beli baju longgok dengan harga yang sangat berpatutan, baju + seluar harganya kurang daripada RM15. Semua mampu memiliki.
3. Berebut-rebut pilih pakaian terpakai yang disedekahkan oleh saudara-mara. Boleh mencetus pergaduhan di kalangan adik-beradik.
4. Dapat pensil warna dalam kotak bersaiz kecil. Rasa macam sangat kaya. Pakcik kayo!!
5. Naik kereta klasik warna hijau. Akhirnya ia dijual dengan harga kurang RM 500. Eh, harga telefon handphone lagi mahal bukan?!

Inilah antara cerita-cerita paling manis yang pernah bertandang dalam hidup aku. Aku makin mengerti erti kesusahan dan kesenangan.

Wednesday, April 15, 2009

tiada tajuk


Cikgu: Awak plan nak pasang kat mana tu Chip's?

Chip's: Kat padang sekolah laa.. Kita kan nak sambut merdeka kat sekolah tahun nih! Lagi best kalau ada pertunjukan bunga api sendirik. Hehe!

Amir: Bahaya la Chip's... Berbaloi ke ko buat semua nih?!

Chip's: Heh! Tina cakap dia tak pernah tengok pertunjukan bunga api secara live... Dia kecik, selalu dihadang oleh orang lain. Kesian dia... Aku nak dia menikmati pertunjukan bunga api yang pertama dalam hidup dia dan tanpa gangguan apa-apa.

Tina: Ko buat semua ni sebab aku? Chip's! Isk... Isk... Isk... Chip's!

Chip's: Amir, ko tanya berbaloi ke tak? Kalau dapat gembirakan hati kawan, pada aku amatlah berbaloi.


*Dialog ini adalah petikan daripada sebuah majalah lawak yang popular di Malaysia. Aku terharu bila baca kartun ini memandangkan majalah tersebut adalah majalah yang berjalurkan lawak. Tetapi tidak untuk kartun tersebut. Diakhiri dengan sebuah ucapan tulus seorang sahabat.

Nota kaki: Tiada sebarang perubahan yang dibuat untuk dialog di atas.

Monday, April 13, 2009

sukan dan hiburan

Antara sukan dan hiburan, kedua-duanya berada pada mazhab yang berlainan dan tersendiri. Cuma yang pasti impak yang diberikan oleh kedua-dua entiti ini sangat besar. Mampu memberi seribu kegembiraan dan tidak kurang boleh mencetus kemarahan.

Aku selalu disajikan dengan cemuhan mereka-mereka yang mungkin lagaknya alim dengan menyatakan segala yang berkaitan dengan hiburan itu adalah melalikan. Maksiat kata ringkasnya. Itu fakta, kata mereka. Contoh-contoh yang diberi sememangnya tidak berpihak kepada hiburan. Cerita artis ditangkap khalwat, teguk arak, berzina, seksi dan sebagainya dijadikan bahan untuk terus menghina hiburan. Memang betul. Itu semua luar dari batas-batas nowma manusia yang dalam kepalanya ada akal fikiran yang perlu digunakan. Bukan diperap terbiar begitu sahaja.

Tapi apa yang membuatkan aku tidak bersetuju apabila berjuta kata manis ditujukan kepada sukan. Sukan itu sihat. Sukan itu bukan maksiat. Sukan itu bagus. Sukan itu memberi kebaikan kepada remaja. Aku bukan anti sukan. Tapi sepanjang aku mengikuti acara hiburan, belum pernah ada kejadian bakar membakar, baling membaling sampai menyebabkan cacat penglihatan. Kalau ada pun insiden pergaduhan kecil sahaja. Itupun dilakukan oleh rakyat yang tanah tumpah darahnya bukanlah Malaysia.

Kalau konsert itu membuka pintu zina melalui pergaulan bebas lelaki dan perempuan, sukan pun tetap tak terlepas. Ada ke stadium atau mana-mana kompleks sukan yang mengasingkan lelaki dan perempuan?

Kalau hiburan itu menyebabkan ramai yang terlalai mengejarkan perintah Allah, ada ke stadium atau mana-mana kompleks sukan yang akan tutup bila berkumandangnya suara azan? Berapa ramai yang sanggup mencontengkan muka mereka dengan jalur-jalur bendera negeri masing-masing sedari siang lagi? Agak-agak bagaimana mereka ini mengejarkan solat? Pelik.

Jangan mudah menghukum dan jangan mudah memuji. Tiada apa yang sempurna dan tiada apa yang indah belaka. Jangan kerana kita menyanjung sesuatu perkara, sehinggakan segala yang buruk kita lemparkan ke merata tempat. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

Sunday, April 12, 2009

akim dan sahabatnya

Dari semalam Akim asyik gelisah. Entah apa yang berlegar-legar di fikirannya. Dia keliru. Apa yang berlaku hampir lima tahun lalu tertayang di benak mindanya. Semuanya berpunca daripada risiko yang selama ini dia pegang. Mungkin dulu dia fikir apa yang dia pertahankan itu adalah betul. Sehinggalah kejadian itu betul-betul membuka matanya. Tidak semua yang difikirkan betul itu tetap berdiri di atas nama kebenaran. Peristiwa pahit itu tetap berpusing-pusing dalam mindanya.

"Aku tertipu dengan kau. Kau email aku minta maaf. Tapi akhirnya kau tikam aku." Itu luahan dari mulut seorang sahabat yang sangat Akim sayangi. Persahabatan yang baru setahun jagung itu tercemar oleh sikap Akim yang pada mulanya cuba untuk melihat ada bibit kebahagiaan antara sahabatnya itu bersama seorang gadis yang menjadi pujaan hatinya sekian lamanya.

"Aku tahu aku salah. Tapi aku cuba nak tolong kau orang berdua. Dia nak berlari, tapi kau tetap nak merangkak. Setiap kali dia hubungi aku, hanya nama kau yang dia sebut. Aku tak ada apa-apa dengan dia. Dia bukan seorang yang istimewa dalam hidup aku. Dia kawan aku. Aku cuma nak menyatukan kau orang berdua. Dia banyak minta nasihat aku." Akim menerangkan semua yang dia rasakan betul dengan harapan sahabatnya memahami tindakannya.

Akim tahu yang dia telah melakukan sesuatu yang membunuh nilai persahabatannya bersama sahabat yang begitu dekat dengan hatinya. Tapi Akim percaya itu resam kehidupan. Dia sanggup andai persengketaan ini adalah sesuatu yang telah tertulis, dia terima. Dan hampir lima tahun ini jugalah Akim masih mengharapkan sahabatnya mampu memaafkan segala kekhilafan yang terjadi. Akim tetap mengharapkan sahabatnya itu ingin kembali menerusakan apa yang telah terputus sejak sekian lama. Akim tetap menunggu dan dia tidak akan jemu untuk menanti saat-saat penyatuan itu. Kini Akim terus melalui jalan kehidupan tanpa sahabat yang pernah mendampinginya dan memberinya semangat di kala dia memerlukannya. Akim terus tabah.

Wednesday, April 8, 2009

tahniah untuk mereka

Tahniah atas dua kemenangan itu. Memang betul kan, Tuhan itu sentiasa menyayangi hamba-hambaNya yang tidak pernah berputus asa saat Dia ingin menguji. Setinggi penghargaan yang tiada nilainya untuk kemenangan itu. Tahniah Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dan S Manikumar. Semoga kalian mampu menuai sesuatu yang segar dan subur.

Jadi kalian sudah tahu kan sayap pemerintahan yang mendampingi aku? Moga semua mampu bersatu di bawah satu payung dan untuk berdiri di atas nama kedamaian sejagat dan persaudaraan yang erat, jauhi permusuhan walau berbeza kemahuan dan keinginan.

Thursday, April 2, 2009

bosan dengan kau

Agak-agak apa perasaan anda bila mana kawan-kawan yang mendampingi anda sebenarnya punya niat untuk kesenangan diri sendiri? Juga apa perasaan anda bila anda punya kawan yang memandang rupa dan harta sebagai tiket untuk menjadi rapat dengan anda? Untuk berdiri atas nama persahabatan itu memang kadang kala kita perlu berimaginasi. Imaginasi ini untuk kita memelihara sebuah ikatan sekaligus dari imaginasi itu kita alihkan ia ke bentuk lakonan yang nyata.

Kenapa perlu rupa dan harta itu menjadi titik kepada perjalanan sebuah persahabatan? Kenapa perlu semua ini ditransformasikan menjadi satu tarian yang mana langkahnya sumbang? Aku secara peribadi memang sedikit terkilan dengan kelompok manusia yang mementingkan darjat demi sebuah kehidupan. Aku penat untuk melayan kerenah manusia yang kononnya hebat ini. Apa kau ingat kau terlalu masyhur hanya kerana kau punya rupa yang menarik dan datang dari keluarga yang selesa kedudukannya? Tolonglah. Bila susah kau datang, bila senang kau lari. Aku memang dah penat dan bosan dengan kau. Mulut yang manis. Janji yang tumbuh melata. Persetankan semua itu sebab aku tahu yang aku dah penat dengan kebodohan lakonan itu. Juga kebodohan aku yang pernah mendambakan sebuah persahabatan yang tak perlukan harta benda dengan kau. Aku silap wahai kawanku. Aku silap besar.