Sunday, November 7, 2010

patah tak berganti

Lebih kurang 2 atau 3 minggu lepas, kami bertemu. Itu setelah beberapa ketika tidak bersua. Jarang seorang sahabat ini berkumpul bersama teman-teman yang lain. Bukan kerana sombong, tetapi itulah sisi si dia. Lebih senang berada di rumah. Tiba waktunya, kakinya melangkah ke masjid. Mulia sisinya sebagai seorang hamba Allah.


Mengenali si dia sebagai seorang sahabat, nyata ia sebuah pengalaman yang terlalu mahal. Untuk melihat si dia meninggikan suara, entah siapa yang pernah melihatnya. Setiap gurauan, akan diakhiri dengan ungkapan maaf. Tenang. Bersahaja. Tidak lokek untuk berkongsi rezeki. Tiada rasa riak dalam dirinya. Baginya, kita semua manusia yang sama di sisi Pencipta. Iman itu, nyata membezakan kita.


Tanggal 5 November 2010, si dia mengucapkan salam terakhir. Tiada lagi senyuman di bibirnya. Tiada lagi madah-madah nasihat yang selalu dilayangkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Sukar rasanya untuk kehilangan seorang sahabat. Mengejut. Tetapi apakan daya, janjinya dengan Penciptanya itu sudah tiba. Si dia pergi meninggalkan semua yang disayangi untuk selama-lamanya.

Moga cahaya sentiasa menemanimu di alam sana. Agak sukar untuk kami menerima kenyataan ini. Tapi sebagai hamba yang selalu percayakan ketentuan Illahi, kami reda atas pemergianmu. Moga doa kami akan menjadi sahabatmu di sana. Moga segala kebaikan dan kemuliaanmu akan sentiasa mendampingimu. Amin.

Allahyarham Ismail Naqiuddin bin Hamdan

(1985-2010)

Alfatihah.

Wednesday, November 3, 2010

mahu


bangun pagi itu
entah mahu senyum
entah mahu muram
wajah itu masih di hati
suaranya masih di telinga
gelaknya masih basah
perlahan
tapi sungguh damai
mahu senyum
sebab rindu
mahu juga muram
tepuk sebelah tangan
hati lagi berkecamuk
mahu kata jangan
tapi nafsu terus mengingini
mahu kata tidak
rindu membuak-buak


tatap gambarnya
ada senyuman terukir
oh tuhan
indahnya mukanya
meroyan sebentar
mahu di sisinya
mahu dipelukannya
mahu disayanginya
mahu dicintainya
mahu selamanya bersamanya


sungguh mahu terus senyum
sungguh tak mahu muram
tolong, aku perlukan dia!

cuti saya

Bila bercuti lama sangat, semangat kerja itu memang hilang. Banyak. Memang tak tipu, fikiran ini melayang-layang teringatkan Kuantan dan yang ada kaitan dengannya. Bila semangat tak ada, nak makan pun tak punya perasaan. Nak buat kerja pun terpaksa memaksa diri. Oh, boleh tak nak cuti lagi lama? Oh, bolehlah bos. Bos baik. Haip, cuti lama-lama, habis orang lain tak nak cuti lah?

Cuti tempoh hari banyak jalan-jalan. Seronok. Sungguh. Asalnya mahu ke Pekan untuk menikmati apam balik yang lazat. Tangguh sebab dah janji dengan Faiz nak tengok wayang. Sebab dia dah sampai di ECM, perancangan bertukar. Jom tengok wayang. Tiba-tiba buntu sebab tak tahu nak tengok filem apa. Faiz nak sangat Takers, layan. Mantap. Tak sia-sia RM9. Serius. Ini Sabtu punya cerita. Ah, terkenang nasi kandar di pelabuhan. Nak. Nak. Nak. Memang terbaik lah kak! Sedap dan lazat. Tepuktepuktepuk.

Ahad bangun awal sebab nak ke Temerloh. Zamil dah jadi Encik Suami. Tahniah Encik Suami. Orang lain beratur panjang-gila-ramai-orang. Nak makan lah maknanya. Ramai sungguh umat yang dapat makan percuma. Jimat duit. Berpahala sungguh tuan rumah. Ok, kami dengan bangganya disuruh makan di meja tengah. Tak payah berpeluh nak beratur. Tak payah nak lenguh kaki sebab nak makan nasi minyak percuma. Semua terhidang. Terima kasih ayah Zamil. Jasamu disanjung-sanjung, dijunjung-junjung.

Kemudian ke Jerantut untuk ke kenduri Majid. Sebelum itu singgah di SBPI Temerloh. Sakinah nak kirim barang. Sampai rumah Majid, Faiz dengan yakinnya "Ha, park kereta dekat situ." Keluar dari kereta, terima kasih kepada encik tanah. Memang kena ada orang tolak lah lepas ni. Sampai sekitar jam 2.45 petang. Dah nak tutup dah kenduri. Meja pengantin dah dalam proses dicabut. Habis makan, salam-salam, menuju ke kereta. Sah, kena tolak. Sian korang kena tolak. Korang memang hebat dan gagah. Uff.

Kereta kotor gila. Pergi kedai, cuci. Habis cuci, terus balik rumah Faiz. Sebab penat, aku terus beradu atas katil. Sebab tak larat, baliklah Kuantan esok. Esok tu Isnin lah. Malam tu ke Temerloh ambil seseorang di sana. Makan di Mentakab. Perjalanan balik ke Jerantut semula, aku dah selamat bermimpi dalam kereta.

Esok sebelum balik, singgah Pusat Kutipan Zakat, Jerantut. Terimbas kenangan lama. Dulu kan aku pembantu pegawai zakat. Sekarang dah dipanggil, Perunding Zakat. Cayalah. Pukul 245 petang, balik menuju ke Kuantan dengan senyuman yang sangat indah. Cuti kali ini memang sangat lazat.

Pulang ke KL jam 930 malam, Selasa. Sebelum pulang ke tempat mencari banyak suap nasi, menuju ke Pusat Kutipan Zakat, Kuantan. Rindu. Serius. Andai dapat diundurkan waktu, aku ingin kembali ke zaman itu. Tiada sesalan yang berbuku di hati. Aku bahagia di situ. Teringat kata-kata seorang guru bilamana beliau tahu aku bekerja di situ suatu ketika dulu, "Terjagalah sikit kan kerja kat sini." Aku rindu.