Friday, February 27, 2009

pelaksanaan itu

Minggu lepas semasa aktiviti Muakha diadakan, bahang kesabaran kian terasa. Untuk kali yang ke entah berapa aku menggalas pangkat guru tak bertauliah. Mengajar subjek Sains. Susah. Bukan kerana subjek tetapi proses penerangan itu agak memenatkan. Penat kerana adik-adik itu tidak memahami Bahasa Inggeris. "Smoking", "Cigarette". Itu antara perkataan yang langsung tidak difahami oleh anak-anak kecil ini. Itu baru dua perkataan. Terlalu banyak yang tidak difahami oleh mereka. Muakha membenarkan konsep bertanya dan itu memudahkan anak-anak kecil ini mendapat maksud yang diingini. Tetapi konsep ujian di sekolah, mungkin bukan begitu.

Dua minggu lepas, aku mengajar subjek Matematik. Juga melalui pengalaman yang sama. Tahun-tahun yang lalu juga begitu. Teringat bual bicara aku bersama abang aku di rumahnya. Katanya di sekolahnya terdapat beberapa kelas yang mungkin boleh diklasifikasikan sebagai lemah. Majoriti pelajarnya gagal dengan cemerlang dalam subjek Matematik dan Sains. Untuk mendapat markah sebanyak 12% juga amat payah. Peliknya apabila keputusan PMR diumumkan, hanya tiga antara mereka yang gagal sedang hakikat mereka gagal di awal pertarungan lagi.

Aku tidak menentang dasar PPSMI. Tetapi mungkin pihak yang lebih arif harus mendasari semula pelbagai aspek. Mereka mencanang para pelajar mendapat keputusan yang cemerlang. Cemerlang yang seperti mana? Kalau 15% itu dikatakan lulus, betapa rendahnya nilai lulus itu. Mungkin kaedahnya harus diperhalusi lagi. Perbanyakkan lagi kelas Bahasa Inggeris supaya para pelajar dapat memantapkan lagi penguasaan mereka. Tiada yang salah tentang PPSMI. Mungkin. Tetapi yang salahnya mungkin proses dan kaedahnya. Apapun bahasa yang digunakan, yang penting cara pelaksanaannya yang diambil kira.

Takkan Melayu hilang di dunia. Islam itu tetap kebenaran yang nyata di dunia dan akhirat.

1 comment:

diana ghazali said...

iyer.. dari skolah lagi perlu diterapkan bahasa inggeris. nanti cikgu2 di uni dan kolej takde la berpeluh mau ajar grammar lagi. huuuu