Monday, April 13, 2009

sukan dan hiburan

Antara sukan dan hiburan, kedua-duanya berada pada mazhab yang berlainan dan tersendiri. Cuma yang pasti impak yang diberikan oleh kedua-dua entiti ini sangat besar. Mampu memberi seribu kegembiraan dan tidak kurang boleh mencetus kemarahan.

Aku selalu disajikan dengan cemuhan mereka-mereka yang mungkin lagaknya alim dengan menyatakan segala yang berkaitan dengan hiburan itu adalah melalikan. Maksiat kata ringkasnya. Itu fakta, kata mereka. Contoh-contoh yang diberi sememangnya tidak berpihak kepada hiburan. Cerita artis ditangkap khalwat, teguk arak, berzina, seksi dan sebagainya dijadikan bahan untuk terus menghina hiburan. Memang betul. Itu semua luar dari batas-batas nowma manusia yang dalam kepalanya ada akal fikiran yang perlu digunakan. Bukan diperap terbiar begitu sahaja.

Tapi apa yang membuatkan aku tidak bersetuju apabila berjuta kata manis ditujukan kepada sukan. Sukan itu sihat. Sukan itu bukan maksiat. Sukan itu bagus. Sukan itu memberi kebaikan kepada remaja. Aku bukan anti sukan. Tapi sepanjang aku mengikuti acara hiburan, belum pernah ada kejadian bakar membakar, baling membaling sampai menyebabkan cacat penglihatan. Kalau ada pun insiden pergaduhan kecil sahaja. Itupun dilakukan oleh rakyat yang tanah tumpah darahnya bukanlah Malaysia.

Kalau konsert itu membuka pintu zina melalui pergaulan bebas lelaki dan perempuan, sukan pun tetap tak terlepas. Ada ke stadium atau mana-mana kompleks sukan yang mengasingkan lelaki dan perempuan?

Kalau hiburan itu menyebabkan ramai yang terlalai mengejarkan perintah Allah, ada ke stadium atau mana-mana kompleks sukan yang akan tutup bila berkumandangnya suara azan? Berapa ramai yang sanggup mencontengkan muka mereka dengan jalur-jalur bendera negeri masing-masing sedari siang lagi? Agak-agak bagaimana mereka ini mengejarkan solat? Pelik.

Jangan mudah menghukum dan jangan mudah memuji. Tiada apa yang sempurna dan tiada apa yang indah belaka. Jangan kerana kita menyanjung sesuatu perkara, sehinggakan segala yang buruk kita lemparkan ke merata tempat. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

1 comment:

diana ghazali said...

wah.. sungguh bersungguh awak dlm isu ni yek. bagus2. menarik dibaca. kalau antar artikel apsal ni pun, rasanya ok la.

hmm... mesti org2 alim tu kata baik main sukan dari dgr radio, ye tak? susah org pikiran kolot camtuh. baik suh dia duk sorang2