Wednesday, February 18, 2009

kau pilih melayu atau kau pilih islam?

Ada 1 perkara berkaitan dengan Melayu yang ingin aku lontarkan mengikut perspektif aku sendiri yang melihat dengan mata sendiri. Peringatan, ini adalah coretan dari sisi pandangan aku. Bukan anda atau anda atau anda. Jika berminat, teruskan membaca.

Aku pernah menghadiri sebuah kursus (layakkah dipanggil kursus?). Ini ayat-ayat yang dilontarkan oleh seorang pak Menteri.

"Jangan sesekali kita menyebut bahawa Malaysia ini adalah negara majmuk. Malaysia bukan negara majmuk. Malaysia adalah negara Melayu

Agak-agak, baginda Rasulullah perjuangkan bangsanya atau agamanya? Saat baginda hendak di bawa pergi oleh sang malaikat, kalimat yang baginda ucapkan ialah "umatku, umatku, umatku". Umat di sini merangkumi seluruh pelusuk dunia tanpa ada sempadan antara darjat dan bangsa. Apa yang lebih penting adalah agama. Itulah sisi perjuangan mulia baginda Kekasih Allah.

Tetapi zaman ini, istilah bangsa lebih berharga daripada agama. Ketuanan Melayu lebih tinggi arashnya daripada kemuliaan Islam. Sungguh aneh situasi ini. Aku fikir, sudah tiba masanya untuk perjuangan Malaysia ini kalau tunjangnya adalah Islam. Kenapa? Sebab aku rasa, makin hari Malaysia makin diwarnai adegan-adegan maksiat yang melampaui akal fikiran seorang Islam.

Di Malaysia, Melayu itu adalah Islam. Tetapi jangan sesekali mencabar hukum ini, Islam tidak semestinya Melayu. Aku berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana di bumi inilah aku melihat kepelbagaian budaya yang mencorakkan kehidupan kita semua.

Jadi nikmat terbesar yang Maha Pencipta itu kurniakan kepada kita adalah Melayu atau Islam? Sekian.

Monday, February 16, 2009

sebuah rumah cinta

Untuk menjadi penghuni sebuah rumah cinta, asasnya tidak perlu terlalu banyak dan serabut. Cukup kalau lantai, tiang, bumbung, dan dindingnya itu diselimuti kasih sayang yang mana didalamnya mempunyai kejujuran, kesopanan, keikhlasan, dan segala perkara-perkara yang mulia. Dan kerana hukum cinta itu bersifat sejagat, tiada alasan kenapa rasa cinta itu perlu ada sempadan untuk siapa kita harus mencintai dan dicintai.

Mungkin cinta itu berbeza kepada siapa watak yang ingin kita berkongsi rasa indah itu. Dan momen-momen yang tercipta juga lain rasa dan baunya. Cuma yang pasti, untuk apa watak sekalipun, tidak perlu ada kondisi untuk kita memberi dan menerima.

Februari, bulan yang diagungkan untuk meraikan cinta. Budaya yang telah menjadi satu hukum harus bagi kebanyakan pasangan ini diraikan demi cinta yang agung. Dan untuk meraikan cinta yang setia (walau bukan untuk meraikan hari cinta 14 Februari) kaki ini melangkah untuk mengatur perjalanan cinta di Istana Budaya bersama lagenda agung, Puteri Gunung Ledang. Perjalanan untuk sebuah rasa cinta itu dikongsi bersama watak-watak yang terlalu dekat di hati. Seperti yang aku nyatakan sebentar tadi, cinta itu harus mentaati hukum di mana cinta itu bersifat sejagat. Jadi tiada sebab kenapa cintu itu tidak boleh diraikan bersama teman-teman yang setia dalam kehidupan ini.

Demi cinta yang agung, aku menghargai setiap watak yang hadir, pernah hadir, dan akan hadir dalam lingkungan yang mungkin berbeza-beza. Untuk semua yang hatinya penuh dengan rasa cinta kepada mereka-mereka yang layak, selamat meraikan CINTA selamanya.

CINTA yang DI ATAS itulah CINTA paling Berharga.

Thursday, February 12, 2009

untuk kawan-kawan

Dalam hidup, kita sentiasa dikelilingi oleh mereka yang menjadi kawan kepada perjalanan. Ada antara kawan-kawan itu yang kita suka. Ada juga yang kita terpaksa memberi kuntum senyum. Tawar dan hambar.

Teringat satu perbualan ringkas aku bersama seorang teman. Entah di mana silapnya kehidupan dia. Berbekalkan rupa paras yang boleh dikatakan menarik dan dibesarkan dengan sedikit kemewahan, dia tetap memilih jalan yang itu untuk mengemudi pelayaran dia.

Aku: Dah tak ada bunga ke?

Dia: Hmm.. Banyak. Tapi kumbang juga yang aku suka.

Itu pilihan hidup dia. Dia memilih untuk bernafsu songsang. Ternyata rupas paras dan kekayaan belum mampu memberi selera nafsu yang normal.

Pernah aku menerima satu pesanan ringkas dari seorang kenalan. Figura ini sebolehnya aku ingin mengelakkan diri dari bertembung.

"Aku jenis yang tak suka cakap belakang. Aku tak puas hati, aku cakap terus."

Itu ayat yang pernah kenalan itu berikan pada aku. Aku benci dengan ayat-ayat bodoh dan bangang yang akhirnya menjerat diri sendiri. Cerita dia mencanang buruk nama aku di belakang bukan sekali dua aku dengar. Sudah muak telinga ini menadah cerita dari mulut seorang manusia yang penuh hipokrit. Lagi sekali, jalan itu yang dia pilih untuk belayar.

Aku sebolehnya tidak meletakkan sempadan untuk sesiapa pun menjadi kawan dan teman rumah hati ini. Apa pun jalan yang mereka pilih, itu sepenuhnya terletak di tangan mereka. Aku punya kawan yang tanpa segan silu bercerita tentang kisah kenikmatan dingin malam bersama teman lelaki. Cerita yang penuh kiasan tetapi penuh dengan keghairahan. Aku juga punya kawan yang gemar untuk bersosial di pusat-pusat hiburan. Sambil mengatur gerak tari, sambil membasahkan tekak dengan air haram. Aku punya kawan yang pakaiannya boleh menaikkan syahwat sesiapa yang memandang.

Tapi sebolehnya aku tidak ingin lari dari mereka. Mereka kawan dan mereka juga teman rumah hati aku. Tiada sempadan yang terletak di antara jalan-jalan itu. Aku juga terkadang lalai dalam membezakan dosa dan pahala. Aku takut. Tapi aku ada teman yang jujur yang boleh memberi kata madah berguna untuk aku berubah.

Biarlah kita merangkak untuk sampai ke puncak. Jangan kita terus berlari langsung kita tersungkur di lembah kehinaan.

Untuk kawan-kawan, ini mungkin appresiasi aku kepada kalian. Simple. Aku sayang kalian semua. Mudahkan appresiasi ini?

Wednesday, February 11, 2009

samar bayangan

Kadang-kadang aku terfikir, di tempat manakah yang paling bagus dan sesuai untuk aku bertapak mencari satu kehidupan yang lebih sempurna? Aku seringkali bingung untuk mencari jawapan yang selalu samar ini.

Pernah aku sangkakan kehidupan di Kuala Lumpur adalah nadi kepada segala kehidupan. Hampir 6 tahun aku di sini, aku cuba untuk mengiyakan. Tapi setelah aku perhatikan dengan pandangan hati, aku ingin menafikan. Pandangan mata selalu menipu kan?

Aku kini menunggu masa untuk kembali menghirup udara di tanah tumpahnya darah ini. Minda aku meronta-ronta untuk kembali ke bumi itu. Mungkin minda dan badan aku sudah penat untuk berdepan dengan segala kemungkinan di bumi yang menjanjikan banyak sisi ini; busuk dan wangi.

Thursday, February 5, 2009

nurul iris safwa mohd rizal

Cerita seorang puteri
Bukan satu dogengan
Antara mimpi-mimpi itu
Dia datang memberi impian
Kelahiran yang memberi kehidupan
Senyum yang menguntum
Tangis yang bahagia
Khabar yang gembira
Semuanya menjadi satu

Tuesday, February 3, 2009

cakap-cakap

Mak cakap jangan bergaduh depan makanan
Nanti rezeki tak datang lagi

Ayah cakap jangan lawan cakap cikgu
Takut ilmu tak berkat

Ustaz cakap mesti patuh pada Allah
Untuk jadi lebih sempurna

Cikgu cakap jangan derhaka pada ibu bapa
Baru hidup lebih bahagia

Kawan cakap kita kawan selamanya
Jangan sampai lupa kawan

Aku cakap macam-macam
Tapi dia sikit pun tak nak dengar

Mungkin itulah bodoh sombong

Monday, February 2, 2009

bodohkah rasa itu?

Aku: Aku nak kunci mulut. Tak nak cakap apa-apa.

Muhsin: Kau kena cakap.

Aku: Aku nak zip mulut. Kau tahu kan, orang tak suka bila senior berkata-kata.

Muhsin: Nasib baik aku bukan yang jenis cepat terasa.

Ain: Senior ni macam orang tua. Cepat terasa.

++++++++++++++++++++++++++++++++++

Baizura: Saya dah ingat.

Aku: Ingat apa?

Baizura: Kenapa Abang Sopi rasa macam tu kat dia?

Aku: Muhsin yang beritahu?

Baizura: Taklah. Saya dah ingat pasal malam tu.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++

Untuk ikut kata hati, aku tewas. Untuk bertarung dengan perasaan itu, aku takut. Aku seperti ingin lari dari rasa bodoh ini. Aku cuba untuk menafikan rasa yang seakan-akan tergantung dalam diri ini.

Mereka memberi semangat. Terima kasih. Tapi aku masih degil. Bodoh.