Sunday, November 15, 2009

selamat maju jaya 1

10 Oktober 2009, Kelana Jaya

Moga ibu dan abah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan selamat. Amin.



Waktu check-in untuk bergerak ke KLIA


Selepas solat Maghrib


Selepas sekelian lama mengumpul duit untuk ke Mekah. Alhamdulillah.

Kami sekeluarga

Lambaian haji, lambaian yang penuh bermakna.
Penuh pengharapan.
Penuh kesyukuran.
Ada bahagia yang tersembunyi.


Moga selamat semuanya. Amin.

Friday, November 13, 2009

rindu

Cium tangan ibu, peluk ibu, ibu pesan " Jangan marah-marah." Aku menangis. Ibu pesan. "Jangan menangis." Aku terus menangis. Ibu cakap "Ibu maafkan dosa anak-anak ibu."

Friday, November 6, 2009

hujan oh hujan

Hari ini hujan lebat.
Aku malas bangun pagi.
Aku malas masuk pejabat.
Aku malas kerja.
Ok, hujan, teruskan turun.
Supaya aku dapat melayan kemalasan ini.

Tuesday, November 3, 2009

momen yang aku rindu

Aku tiba dengan harapan
Wajah-wajah mulus itu
Aku tenung dengan sejujurnya
Cuba untuk tidak membezakan
Sedaya upaya mencari titik persamaan
Kerana itulah asas perhubungan
Mata yang memandang
Telinga yang mendengar
Mulut yang berbicara
Hati menyimpulkan
Ah, pergi rasa marah itu
Pergilah sejauhnya
Aku tak merindui rasa itu
Aku ingin ikhlas
Aku ingin setia
Aku ingin jujur

Ok, mereka nakal
Mereka tak mendengar
Mereka tak memandang
Tapi mereka berbicara
Bukan dengan aku
Tapi bersama teman
Hanyutkan rasa marah sekali lagi
Aku tak perlukannya dalam arus rasa ini
Biar ikhlas jadi langit
Biar jujur jadi lantai
Biar senyum jadi udara

Mereka seumpama naskah agung
Aku belek
Aku baca
Aku fahami
Watak-watak yang hadir itu mencipta momen
Warna yang ada itu pelbagai
Itulah yang mencantikkan
Benar, aku rindu momen itu
Benar, aku menangis kerana momen itu
Benar, aku tersenyum kerana momen itu
Benar, aku ketawa kerana momen itu
Benar, aku inginkan momen itu berulang
Ah, aku terlalu bermimpi

Untuk teman-teman semua (Azri, Rizal, Fazli, Lutfi, Nadiah, Jaliah, Dayah Bahari, Dayah Sapeai, Dayat, Adik Dayat, Mastura, Dila, Hasanah, dan Zeti), terima kasih untuk momen-momen yang sempat kita cipta selama tiga hari di sana. Ampun maaf andai terkasar bahasa dan sebarang khilaf.

entri ini hanya untuk mengisi masa lapang

Atan: Abang, salah ke kalau jadi musician?

Aku: Tak salah.

Atan: Tak salah eh?

Aku: Tak. Tapi kena tahu batasan. Jangan lupa Allah. Atan nak jadi musician ke? Guitarist? Atan ada band?

Atan: Itulah yang Atan minat sebenarnya. Tak ada band. Selalu ikut abah.

Aku: Abah ada band ke?

Atan: Ha,ah. Selalu ikut abah main muzik dengan kawan-kawan dia.

Aku: Nanti dah habis SPM, boleh ambil jurusan muzik. Tapi jangan sampai lagha.

Atan: Eh, tak. InsyaAllah.


Entri ini wujud sebab aku teringatkan Atan. Atan, selamat maju jaya untuk SPM yang dah tak lama. Nanti abang datang jumpa Atan ok. Miss you.

Monday, November 2, 2009

abang sayang kamu.

Malam itu, terlalu laju air mata aku mengalir. Seolah sungai yang deras, aku tak mampu mebuang rasa hiba dan simpati. Rayuan dan tangisan itu terlalu ikhlas dari hati seorang remaja belasan tahun. Belum pernah pun ada sesiapa yang merayu dan menangis sambil melutut meminta maaf pada aku.


Dia: Abang, tolonglah jangan balik. Tolonglah. Saya merayu. Saya tahu saya tak berguna.

Aku: Jangan cakap macam tu.

Dia: Tak, saya memang tak berguna. Saya selalu buat mak dengan abah risau. Saya derhaka pada mak dengan abah. Dah setahun saya derhaka pada mak dengan abah. Saya tak pernah rasa rindu dekat mak dengan abah. Saya memang tak berguna.

Aku: ......diam....

Dia: Abang pukul je saya. Abang tamparlah saya. Saya tak kisah. Tapi abang jangan pergi. Tolonglah bang. Saya merayu. Tolonglah. Saya tak pernah merayu pada mak dengan abah macam ni. Saya tak pernah minta maaf pada mak dengan abah macam ni.

Aku: Bangun. Tak baik macam ni. Tak elok.

Dia: Saya takkan bangun selagi abang tak berjanji abang takkan pergi. Abang jangan balik. Tolonglah. Saya tak pernah rasa kasih sayang seorang abang. Saya dah anggap abang macam abang saya. Saya pernah mimpi saya dapat seorang abang. Tolonglah.


Selama lebih sejam, dia terus meluahkan segala-galanya. Semua isi hatinya diluahkan. Dua kali dia melutut, aku menjadi semakin lemah. Aku menjadi semakin sakit dengan perasaan itu. Tanganku digenggam erat olehnya seolah-olah tak ingin melepaskan. Tangisan yang lebat menjadi saksi sekeping hati yang terlalu inginkan kasih sayang. Cuma dia alpa dengan kehidupan.


Dia: Tadi abah datang. Abah cakap "abah sayang kamu."

Friday, October 30, 2009

terima kasih, sahabat.




Rindu, sungguh. Tak terkata rasa rindu ini.
5 tahun berlalu, seperti angin meniup jauh.
Sebuah cerita itu ada kedukaan yang dipendam.
Sakit. Merajuk. Marah. Benci.
Semua bersimpul menjadi satu ikatan.
Kukuh tak terjurai lagi.
Ikhlas yang pernah menjadi rumah, telah lama roboh.
Sayang yang menjadi jambatan juga runtuh.
Tiada lagi warna-warna yang setia menemani hidup.
Tipu, warna takkan hilang.
Tak, aku tak tipu. Warna tetap ada. Tapi warna yang kau beri dulu sangat cantik.
Aku ralit dalam lukisan kau. Sangat cantik.

Ingat tak kita dulu seperti kuku dan jari.
Rapat sampai kita tak mampu berpisah.
Kau ada, aku ada.
Kau lukis, aku warnakan.
Ah, aku sedang tersenyum. Datanglah momen. Aku perlukan kau. Sangat.
Eh, bukankah kau yang memulakan langkah?
Mana boleh aku lupa, aku dalam bus, asyik dapat "missed call" je.
Kau ingat aku tak tahu nombor kau?
Terus aku hantar mesej, "Kau ni **** kan?"
Aku sedang ketawa sekarang.

Ah, kenapa ada air mata?
Tak nak, tak nak. Dah puas menangis.
Aku memang masih menangis dengan momen-momen dulu.
Lah, tadi tersenyum, kemudian ketawa. Kenapa nak menangis pula?
Aku nampak kau masa hari konvokesyen kita.
Aku tersenyum tatkala memandang kelibat kau atas pentas, menerima ijazah.
Aku yakin, kau jelek melihat susuk aku di pentas.
Walaupun kau benci, aku tetap suka.
Walaupun kau marah, aku tetap sayang.
Kan kita umpama kuku dan jari.
Sakit kan kalau kuku tercabut daripada jari?
Aduh, aku menangis lagi.
Sakit. Sesiapa ada "aspirin?"

Bayangan kau akan selalu menemani aku.
Aku ingin biarkan kau selalu di hati, tanpa dendam.
Kau tahu, Aidilfitri lepas aku "admitted?"
Aku sering bayangkan kau menemani aku, memberi aku kata-kata semangat. Untuk melawan kesakitan aku.
Uh, mimpi. Angan dalam sedar.
Serius, aku mahu peluk kau. Aku mahu bisikkan pada kau, "Aku sayangkan kamu, sahabat."

Nama **** akan selalu ada dalam kanvas hidup aku dan aku takkan sekali-kali akan meluputkan semua momen yang kita pernah lukiskan. Lukisan kau dan aku akan terus menjadi hiasan dalam sejarah hidup aku. Terima kasih sahabat kerana pernah hadir memberi senyuman yang terindah dalam lipatan hidup aku. Terima kasih sahabat untuk sebuah "cinta" itu. Terima kasih sahabat. Terima kasih.

--- Diri ini masih tercari-cari jawapan, mengapa harus terjadi, perpisahan pergolakan---


Sepi seorang perindu,

Dadidai
10.00am