Sunday, November 7, 2010

patah tak berganti

Lebih kurang 2 atau 3 minggu lepas, kami bertemu. Itu setelah beberapa ketika tidak bersua. Jarang seorang sahabat ini berkumpul bersama teman-teman yang lain. Bukan kerana sombong, tetapi itulah sisi si dia. Lebih senang berada di rumah. Tiba waktunya, kakinya melangkah ke masjid. Mulia sisinya sebagai seorang hamba Allah.


Mengenali si dia sebagai seorang sahabat, nyata ia sebuah pengalaman yang terlalu mahal. Untuk melihat si dia meninggikan suara, entah siapa yang pernah melihatnya. Setiap gurauan, akan diakhiri dengan ungkapan maaf. Tenang. Bersahaja. Tidak lokek untuk berkongsi rezeki. Tiada rasa riak dalam dirinya. Baginya, kita semua manusia yang sama di sisi Pencipta. Iman itu, nyata membezakan kita.


Tanggal 5 November 2010, si dia mengucapkan salam terakhir. Tiada lagi senyuman di bibirnya. Tiada lagi madah-madah nasihat yang selalu dilayangkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Sukar rasanya untuk kehilangan seorang sahabat. Mengejut. Tetapi apakan daya, janjinya dengan Penciptanya itu sudah tiba. Si dia pergi meninggalkan semua yang disayangi untuk selama-lamanya.

Moga cahaya sentiasa menemanimu di alam sana. Agak sukar untuk kami menerima kenyataan ini. Tapi sebagai hamba yang selalu percayakan ketentuan Illahi, kami reda atas pemergianmu. Moga doa kami akan menjadi sahabatmu di sana. Moga segala kebaikan dan kemuliaanmu akan sentiasa mendampingimu. Amin.

Allahyarham Ismail Naqiuddin bin Hamdan

(1985-2010)

Alfatihah.

No comments: